Sabtu, 30 Oktober 2010

BAHAYA AIDS HARAKI DALAM HARAKAH ISLAMIAH


SUATU PERINGATAN DARI USTAZ FATHI YAKAN

( Virus Merbahaya Yang Menyerang Harakah Dakwah Masa Kini )



Muqqadimah

Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia. Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin.


Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.


Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik). Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.


Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua. Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.


Mengenal Virus Merbahaya


Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :


1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan kegagalan membina tanzim dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh. Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata. Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.


2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya. Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan mealisasikan tujuan-tujuannya. Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.


3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemengan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya. Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah. Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka. Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.


4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.


5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.


6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah. Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.


7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalah harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangai peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.


Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.


Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.



Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah ( Keaslian Dakwah )


Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW. Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran. Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).


Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam. Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.



Kesimpulan


Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi.


Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.


Kepada para Pejuang yang merindukan kejayaan

Kepada Rakyat yang kebingungan di persimpangan jalan

Kepada Pewaris peradaban yang telah menggoreskan

Sebuah catatan membanggakan di lembar sejarah manusia

Wahai kalian yang rindu kemenangan…..

Wahai kalian yang turun ke medan

Demi mempersembahkan jiwa dan raga

Untuk Islam tercinta…..



Disediakan oleh :

10 Syawal 1426 H

Akhukum fiLlah,

Ahmad Akhyari bin Ismail Az-Zahawiee

UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Jumaat, 29 Oktober 2010

KERUNTUHAN AKHLAK DAN GEJALA SOSIAL DALAM KELUARGA; ISU DAN CABARAN


























Seminar Kaunseling Keluarga 2008


KERUNTUHAN AKHLAK DAN GEJALA SOSIAL DALAM KELUARGA; ISU DAN CABARAN


Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid, Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor


Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia,Skudai 81310 Johor Bahru


hashimhj62@yahoo.com, kyhelmi79@yahoo.com, mie_spiutm@yahoo.com, utmkaunseling@yahoo.com


ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk melihat isu-isu keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang terdiri daripada pengaruh budaya barat iaitu budaya skinhead, budaya punk dan budaya blackmetal; isu kemaksiatan, penagihan dadah, pembuangan bayi, mat rempit serta vandalisme yang berlaku dalam keluarga di Malaysia. Data-data menunjukkan pembabitan rakyat Malaysia dalam jenayah ini. Punca-punca telah dikenal pasti yang menjadi penyebab berlakunya gejala ini. Justeru itu isu-isu ini turut memberi kesan bukan sahaja kepada individu tersebut malah kepada masyarakat dan negara Malaysia. Bagi mengatasi masalah ini beberapa tindakan turut dibincangkan bagi mengurangkan dan seterusnya menghapuskan gejala sosial ini yang boleh merosakkan masa depan negara.


PENDAHULUAN


Masyarakat Melayu mengalami perubahan struktur dan organisasi setelah Tanah Melayu dijajah seluruhnya oleh Inggeris. Penjajahan Inggeris memperkenalkan bukan sahaja dasar-dasar baru dalam bidang politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain, tetapijuga nilai-nilai baru yang terselindung di sebalik dasar-dasar tersebut. Orang Melayu, samaada secara sedar atau tidak, turut mendokong nilai-nilai tersebut setelah menerima (secara paksaan atau terpaksa) dasar-dasar penjajahan dalam bidang-bidang yang disebutkan diatas.


Pengaruh Budaya Barat


Pertembungan elemen-elemen baru yang diperkenalkan oleh penjajah dengan amalan-amalan tradisi orang Melayu, banyak mewujudkan konflik dan kontradiksi. Konflik dan kontradiksi ini, terutamanya atas paras nilai, berlarutan hingga ke hari ini walaupun negara kita telah bebas dari cengkeman penjajah. Ini kerana, pengaruh Barat dan nilai-nilai dari Barat terus melanda, malah menjadi kian dominan. Program-program pembangunan dan perindustriaan yang dilancarkan oleh negara-negara membangun termasuk Malaysia hari ini, masih mengambil model Barat. Begitu juga dengan perkembangan teknologi maklumat menjadikan dunia kini semakin kecil. Segala perkembangan yang berlaku terutamanya, dinegara-negara maju di Barat, akan tersebar dengan begitu cepat di seluruh dunia. Pengaruh barat ini dapat dilihat yang mana semakin menular dalam kalangan masyarakat kita hari ini terutamanya golongan muda-mudi yang mudah terpengaruh dengan aliran muzik dan budaya Barat seperti Black Metal, Punk dan Skinhead. Aliran-aliran ini jelas sama sekali bertentangan dengan ajaran agama Islam. Contoh-contoh wujudnya ajaran-ajaran ini turut dibincangkan dalam ulasan ini.


Pengaruh Skinhead

Skinhead adalah suatu sub-budaya yang lahir di London, Inggeris pada akhir tahun 1960-an.Sekarang Skinhead sudah menyebar ke seluruh belahan bumi. Nama Skinhead merujuk kepada para pengikut budaya ini yang rambutnya dipangkas botak. Meskipun Skinhead banyak diasosiasikan dengan kelompok orang-orang yang rasis dan Neo-Nazi, namun Skinhead yang sebenarnya tidaklah Neo-Nazi, kerana pada awalnya Skinhead adalah kaum tertindas dari kelas pekerja (utamanya buruh pelabuhan) di London, Inggeris. Skinhead juga bisa merujuk kepada kepada kelompok orang (biasanya remaja) yang merupakan peminat musik streetpunk dan juga punk.


Sejak tahun 1990 lagi, budaya Skinheads telah dibawa masuk ke Malaysia. Namun pada masa itu golongan Skinheads adalah terlalu kecil. Pada tahun 1992 budaya Skinheads telah berkembang, ini kerana Singapura merupakan sumber maklumat tentang budaya Skinheads. Skinheads di Malaysia sering berulang alik dari Singapura ke Malaysia untuk mendapatkan maklumat tentang Skinheads. Pada mulanya golongan Punk Rock di Malaysia yang berperanan memperkembangkan budaya Skinheads. Ini adalah kerana pada masa itu masyarakat memandang serong tentang budaya Punk Rock.


Budaya Punk

Punk pula lahir di London, Inggeris. Sejak tahun 1980-an, saat punk bermaharalela di Amerika, golongan punk dan skinhead seolah-olah bersatu, kerena mempunyai semangat yang sama. Namun, Punk juga dapat bererti jenis muzik atau genre yang lahir di awal tahun1970-an. Punk juga boleh diertikan sebagai ideologi hidup yang mencakup aspek sosial dan politik. Gerakan anak muda yang diawali oleh anak-anak kelas pekerja ini dengan segera membantah Amerika yang mengalami masalah ekonomi dan kewangan yang dipacu oleh kemerosotan moral oleh para tokoh politik yang memicu peningkatan pengangguran yang tinggi.


Banyak yang menyalahartikan punk sebagai glue sniffer dan perusuh kerana di Inggeris pernah terjadi wabak penggunaan jem berbau tajam untuk mengganti bir/arak yang tak terbeli oleh mereka. Punk lebih terkenal dari hal fashion yang dikenakan dan tingkah laku yang mereka perlihatkan, seperti potongan rambut mohawk ala suku indian, atau dipotong ala feathercut dan diwarnai dengan warna-warna yang terang, sepatu boots, rantai dan spike, jaket kulit, celana jeans ketat dan baju yang lusuh, anti sosial, kaum perusuh dan kriminal dari kelas rendah, pemabuk berbahaya sehingga banyak yang mengira bahawa orang yangberpenampilan seperti itu sudah layak untuk disebut sebagai punker.


Pengaruh Black Metal

Black Metal merujuk kepada muzik yang mempunyai ciri-ciri khusus. Antaranya adalah ia mencemuh semua agama kecuali pagan. Oleh itu Black Metal boleh dianggap sebagai muzik keagamaan pagan. Dengan itu sebarang dakwaan bahawa muzik Black Metal tidak mencemuh agama meletakkan kelompok yang sedemikian terkeluar daripada Black Metal.Sementara yang mendakwa mereka merupakan pengikut Black Metal meletakkan diri mereka terkeluar daripada semua jenis agama. Pada 23 Januari 2006, Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia telah memutuskan bahawa aliran muzik Black Metal dikategorikan sebagai ajaran sesat dan boleh menjejaskan akidah mereka yang mengamalkannya.


Sejarah Black Metal

Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, satu daripada tokoh terkenal di Norwegian adalah Oystein Aarseth, lebih dikenali sebagai Euronymous, pemain gitar Mayhem. Keadaan itu amat anti-Kristian: ia menegaskan bahawa matlamatnya adalah menghilangkan pengaruh Kristian dan semua agama bukan Scandinavian daripada kebudayaan Norwegian dan mengembalikan negara tersebut kepada asas Norse. Salah satu daripadanya, mempunyai kaitan dengan NSBM, termasuk unsur anti-Semitism berterang-terangan. Pergerakan ini dipengaruhi oleh 'Inner Circle', yang dianggotai oleh Aarseth dan beberapa sahabatnya, daripada bilik bawah tanah kedai rekod Aarseth, Helvete (Hell). Lokasi tersebut turut mempunyai studio rakaman, di mana rekod yang dihasilkan oleh Mayhem dan beberapa kumpulan muzik lain yang terikat dengan label bebas Aarseth, Deathlike Silence Productions. Matlamat yang dinyatakan bagi Deathlike Silence merupakan "menerbitkan rekod oleh kumpulan pemuzik yang merupakan kebangkitan kejahatan dalam bentuk paling sempurna".



Isu Kemaksiatan dan Pelbagai Keruntuhan Akhlak Di Malaysia


“…saya mahu setiap rakyat Malaysia mempunyai modal insan iaitu personaliti yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang. Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorag individu. Ini akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara,”.


Sumber: Ucapan Perdana Menteri, Datuk SeriAbdullah Ahmad Badawi, 2005



Begitulah tingginya harapan dan hasrat yang digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia melalui kata-kata dan ucapannya. Namun begitu setelah negara kita merdeka 50 tahun dulu, adakah jiwa raga, minda dan tingkah laku rakyat Malaysia benar-benar merdeka?. Sebagai renungan untuk menjawab persoalan di atas,


sebanyak 1.13 peratus remaja terlibat dengan kes buang bayi, 40 peratus menonton bahan lucah, 16 peratus berjudi, 70 peratus merokok,14 peratus terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 25 peratus mengambil minuman keras, dan18 peratus melakukan seks bebas (majalah Siti, 2006).


Dapatan ini merupakan satu angka yang amat membimbangkan dan boleh meruntuhkan kecemerlangan negara Malaysia. Keruntuhan akhlak yang menjadi ancaman rakyat Malaysia bermula dari diri individu itu sendiri. Mereka ini berjiwa kerdil, pasif, tidak menghargai diri, tidak berpendirian dan tidak berwawasan. Mereka juga tidak mempunyai identiti sendiri,mudah terpengaruh dan lebih mengagung-agungkan budaya kuning dari Barat. Sepatutnya mereka bangga dengan adat ketimuran yang terkenal dengan budi bahasanya. Mereka juga lemah minda, malas berfikir dan mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu atau menyelesaikan masalah sehingga ada yang mengambil dadah dan yang paling kritikal sehingga membunuh diri.


Dalam melahirkan kebanggaan, sebahagian rakyat khasnya golongan remaja terlibat dengan fenomena keruntuhan akhlak yang amat menjijikkan dan boleh melemah dan meruntuhkan negara bangsa. Antara gejala keruntuhan akhlak tersebut ialah perbuatan maksiat seperti khalwat, zina dan sumbang mahram, minum arak, penggunaan pil hayal, judi dan penagihan dadah yang dilihat hampir tiada jalan penyelesaiannya. Mengikut sumber pelbagai agensi kerajaan didapati jumlah yang terlibat dengan pelbagai gejala keruntuhan akhlak amat tinggi dan membimbangkan seperti mana paparan data berikut.


STATISTIK KESALAHAN JENAYAH SYARIAH BAGI TAHUN 2003-2007 SELURUH NEGERI JOHOR


Statistik di dalam Jadual 1 menunjukkan peningkatan pelbagai kesalahan jenayah syariah dari setahun ke setahun. Ini yang dapat dikesan melalui tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa. Bagaimana pula keadaan di seluruh negeri yang mungkin tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa?




Data di dalam Jadual 4 menunjukkan bahawa jenayah syariah sumbang mahram dalam kalangan anggota keluarga yang ada pertalian darah. Didapati perbuatan bapa kandung sendiri yang tertinggi melakukan perbuatan terkutuk ini. Ini diikuti oleh bapa saudara dan abang kandung.




Ancaman Penagihan Dadah


Ancaman Penagihan Dadah masih kekal sebagai musuh pertama negara sehingga kini. Walaupun agak keterlaluan untuk mengaitkan penagihan dadah ini dengan gejala keruntuhan akhlak, namun semua berpunca daripada fenomena akhlak yang tidak diurus dengan bijaksana sehingga seseorang itu terjerumus ke lembah kehancuran ini. Statistik jumlah penagihan dadah di dalam Jadual 4 jelas menunjukkan bahawa masalah ini amat berbahaya dan perlu ditangani secara berterusan.Taburan jumlah penagih dadah yang dikesan menunjukkan Pulau Pinang mencatatkan bilangan penagih paling ramai dikesan berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak 6,685 orang diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6,073), Kedah (4,593), dan Kelantan(3,625). Mengikut sumber itu juga didapati 72.62 peratus yang ditangkap merupakan golongan belia yang majoritinya berumur 25 – 29 tahun, 71.35 peratus yang dikesan itu pula adalah belia Melayu yang beragama Islam, 79.56 peratus berpendidikan sekurang-kurangnya tingkatan 3, 91.48 peratus mempunyai pekerjaan (majoritinya buruh am).




Mat Rempit

Masalah kebejatan sosial seperti aktiviti pelumbaan motosikal haram oleh penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’ bukanlah merupakan satu isu yang baru memandangkan gejala sebegini telah wujud sekian lama dijalan-jalan raya di negara ini. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, rempit bermaksud menyesah atau memukul sesuatu contohnya dengan menggunakan rotan. Sebutan rempit itu sendiri sebenarnya adalah berasal daripada perkataan rampit iaitu menggambarkan pelumba memeras minyak di jalan raya (litar).


Didapati pada sekitar tahun-tahun 80an dan awal 90an, gejala ini banyak bertumpu di Kuala Lumpur, ianya kini sudah merebak hampir ke semua negeri di Malaysia. Malahan, di ceruk-ceruk kampung sekalipun gejala sebegini sudah menjadi lumrah dengan penglibatan masyarakat tanpa mengira batas umur dan bangsa. Trend menunjukkan aksi menunggang motosikal di jalanraya dengan pelbagai bentuk gaya oleh remaja dan belia khususnya sehingga mendatangkan kecelakaan perlu dikawal dan dihapuskan segera secara menyeluruh kerana ia akan menjadi gejala sosial yang sukar dirawat. Ia bukan sahaja berleluasa di kawasan bandar, malah di kampung, aksi mat rempit sentiasa mendapat perhatian murid sekolah rendah yang kemudian mencuba aksi berbahaya dengan basikalnya. Antara aksi-aksi berbahaya yang biasanya dilakukan oleh golongan mat rempit ini lalah:


• Wheelie - menunggang laju sambil mengangkat tayar di bahagian depan.

• Wikang - menunggang sambil mengangkat tayar di bahagian belakang.

• Scorpion - menunggang motosikal sambil kaki menghala di bahagian atas.

• Superman - menunggang laju sambil terbaring persis aksi superhero, Superman.

• Pereng/corner - bahagian meletak kaki bergesel di jalan raya ketika menunggang di selekoh.


Remaja merempit untuk mencari keseronokan, kepuasan, kemasyhuran, wang dan perempuan. Kepuasan dan keseronokan untuk melepaskan diri sementara dari tekanan hidup. Mengecapi bentuk hiburan yang murah dengan hanya berbekalkan RM4 untuk minyak dan keberanian untuk beraksi. Ada yang mendapat habuan lumayan berupa wang dan perempuan. Bukan semua berani mati begitu tapi wang taruhan dikumpul dalam kalangan mereka, menyuburkan lagi gejala ini. Mengikut statistik PDRM, sejak 2001 sehingga Mei2008, sebanyak 3,182 penunggang motorsikal ditahan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas,dan 2,970 daripadanya berusia antara 16 tahun dan 25 tahun.


Kegilaan anak-anak muda ini bukan sahaja berbahaya tetapi menambahkan lagi kadar kemalangan dan kematian penuggang motosikal dijalan raya. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kes kematian di jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motorsikal di negara ini dalam tempoh tujuh tahun kian meningkat. Pada tahun 2005, sebanyak 3,175 kematian dicatat bagi kelompok itu, berbanding 3,088 (2004), 3,166 (2003), 3,034 (2002), 2,972 (2001), 3,118 (2000) dan 2,960 (1999). Daripada Januari 2007 hingga Julai 2007, didapati bahawa sebanyak 242 tangkapan dilakukan, 200 daripadanya di sekitar Kuala Lumpur. Statistik keseluruhannya menunjukkan 2005 hingga Julai tahun ini (2008) sebanyak 1,557 pelumba haram berjaya ditangkap di bawah Sekyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kaum Melayu mendahului jumlah tangkapan, iaitu 1,436 tangkapan, Cina (51 tangkapan),India (63 tangkapan) dan kaum-kaum lain (tujuh tangkapan). Daripada statistik itu juga, mereka yang bekerja sendiri paling ramai terlibat iaitu 269 orang, diikuti pengganggur 256 orang dan pelajar 238 orang. Mereka yang bekerja sebagai buruh turut ditangkap seramai 186 orang, pekerja kilang 174 orang, penghantar surat 161 orang, mekanik 59 orang, dan lain-lain 214 orang. Golongan mat rempit yang berumur lingkungan 16 hingga 20 tahun paling ramai ditangkap iaitu 913 orang, diikuti umur 21 hingga 25 tahun seramai 550 orang, 26 hingga 30 tahun seramai 63 orang, bawah 15 tahun seramai 26 orang dan lebih 31 tahun seramai lima orang.Isu


Pembuangan Bayi


Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta nak-anak perempuan atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau belum menganut agama Islam. Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hariini. Malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi langkah terbaik dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.


Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun. Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah. Majlis HEWI PKPIM juga melihat senario pembuangan bayi yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat kritikal dan perlu ditangani habis-habisan oleh semua pihak. Sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan perlu bekerjasama dalam menangani isu ini. Isu pembuangan bayi merupakan isu yang besar dan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan nyawa seorang kanak-kanak yang tidak berdosa.


Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kespada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT). Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga tahun lalu, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Pada 2000, 65 kes dicatatkan diseluruh negara, 2001 (97 kes), 2002 (98 kes), 2003 (92kes), 2004 (78 kes), 2005 (67 kes)dan 2006 (83 kes). Tahun lalu sahaja, daripada 83 kes di seluruh negara, Selangor mencatatkan 24 kes, Johor (21 kes), Sarawak (12 kes), Sabah (11 kes), Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing tiga kes), Perak dan Melaka (dua kes) serta Kelantan dan Terengganu (satu kes). Statistik sama turut mencatatkan usia bayi yang dibuang membabitkan dua kategori, iaitu janin dan baru lahir. Untuk janin, 48 kes dilaporkan dalam tempoh 2000 hingga 2006, manakala baru lahir pula 532 kes.


Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Di samping itu, pengaruh rakan sebaya, terutamanya dalam kalangan remaja lelaki, juga merupakan faktor penyebab mengapa remaja terdorong melakukan hubungan seks tanpa tahu risikonya.


Selain itu, kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini. Halijahberkata, antara kesan-kesan mengamalkan seks bebas ialah kehamilan. Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.




PUNCA-PUNCA KERUNTUHAN AKHLAK


Saban hari isu-isu gejala sosial yang membabitkan gadis remaja hangat diperkatakan, secara tidak langsung, isu ini turut menggambarkan bahawa gadis remaja kini semakin agresif, berani, dan liar. Banyak kajian akademik telah dibuat oleh mereka yang pakar dan terlibat secara langsung dengan isu-isu remaja secara langsung dan tidak langsung seperti pihak kementerian, jabatan, agensi, persatuan dan NGO, pihak cerdik pandai, orang perseorangan dan lain-lain. Daripada kajian yang telah dijalankan didapati masalah remaja ini mempunyai hubungan kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah, pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, rakan-rakan dan lain-lain. Apabila masalah keruntuhan remaja dibincangkan soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku?


Perasaan Ingin Tahu dan Ingin Mencuba

Remaja ialah mereka yang berumur 18 tahun ke bawah. Pada peringkat usia ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Justeru apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling mereka akan mengundang perasaan ingin tahu dalam kalangan remaja.Secara tidak langsung membuatkan mereka terdorong untuk mencuba dan melakukan perkara-perkara tersebut. Perasaan begitu sebenarnya adalah baik untuk remaja, namun yang menimbulkan masalah apabila mereka tiada ‘guide line’ dari orang-orang yang sepatutnya, umpamanya para ibu bapa, keluarga, jiran dan sebagainya. Jadi perasaan ingin tahu remaja akan mendorong mereka melakukan apa ingin dilakukan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara perkara tersebut.


Pengaruh Rakan Sebaya

Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk. Selain itu sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial, kadangkala mereka ini terlalu mudah mempercayai orang lain. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebihmemahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramaipara remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.


Pengaruh Media Massa

Media massa juga menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial dalam kalangan para remaja hari ini. Tidak semuanya apa yang dipaparkan di media massa itu memberikan kesan yang buruk. Namun, ada segelintir program-program dan drama-drama yangmemaparkan pergaulan bebas dalam kalangan remaja, program-programrealiti televisyen, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-matamempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat. Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan terdapat dengan mudah dipasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD, atau lain-lain selain dari itu bahan media ini mudah diperolehi.


Sikap Keluarga

Dalam hal ini keluarga juga ada kalanya menjadi pendorong bertambahnya gejala sosial dalam kalangan remaja. Walaunpun tidak berlaku pada semua keluarga, tetapi keluarga yang mengamalkan sikap terlalu mengongkong atau terlalu memberikan kebebasan kepada para remaja, boleh menjadi penyumpang kepada wujudnya masalah ini. Mereka menjadi ahli keluarga yang hanya hidup tapi tidak diperduli dan tidak diberi input kerohanian, kesedaran, nilai-nilai mulia dan keagamaan yang cukup. Keluarga yang terlalu mengongkong ialah keluarga yang mengamalkan sikap terlalu tertutup. Maksudnya keluarga itu seolah-olah telah menetapkan suatu undang-undang atau peraturan yang perlu diikuti oleh setiap ahli keluarga tanpa kompromi. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa remaja memberontak dan jika berpeluang keluar dari keadaan itu mereka akan melakukan apa sahaja yang terlintas difikiran tanpa berfikir panjang. Manakala keluarga yang terlalu memberikan kebebasan ini biasanya bersikap terbuka yang keterlaluan. Di dalam keluarga sebegini, tiada suatu peraturan atau ketetapan khusus yang diamalkan. Keadaan ini juga tidak baik kerana para remaja perlukan sesuatu yang boleh dijadikan panduan untuk menjalani kehidupan mereka.Tanpa panduan, belum tentu mereka dapat melalui kehidupan ini dengan sebaik mungkin mengakibatkan mudah terjerumus ke arah gejala sosial yang pelbagai kini.


Institusi keluarga penting untuk membantu mengelakkan para remaja dari terjebak dengan gejala sosial. Paling penting perlu dititik beratkan ialah tentang agama. Adanya asas agama yang teguh, remaja tidak akan sewenang-wenangnya terjerumus kepada perkara yang tidak baik. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting, terutamanya sebagai model kepada anak-anak. Kesibukan bukan alasan sebagai penghalang ibu bapa mengambil berat hal anak-anak mereka. Paling penting ibu bapa tahu berperanan dan mengamalkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Ibu bapa seharusnya mempunyai masa untuk berkomunikasi dan mengambil tahu perihal anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa yang memiliki anak remaja hendaklah ‘menjadi rakan’ kepada mereka. Dengan ini anak-anak akan lebih mempercayai ibu bapa dan menjadikan mereka sebagai rujukan jika berdepan dengan masalah. Apabila anak-anak bercerita tentang masalah mereka, ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan. Jangan terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun terus menghukum. Berikan masa untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik.


Ibu bapa juga digalakkan merancang aktiviti bersama anak-anak dan ahli-ahli keluarga. Contohnya, di bulan Ramadan ini, seboleh-bolehnya semua ahli keluarga berkumpul untuk berbuka puasa ataupun bersama-sama ke surau atau masjid untuk menunaikan solat sunat Tarawih. Para ibubapa juga perlu sentiasa memantau keadaan anak-anak, tidak boleh ‘just take for granted’. Mereka tidak boleh membiarkan anak-anak bersendirian menentukan jalan hidup mereka. Anak-anak perlu dibimbing. Selain itu, ibu bapa perlu mengenali rakan anak-anak remaja mereka. Jika perlu, sesekali minta supaya anak-anak membawa rakan-rakan mereka ke rumah supaya dapat dipastikan dengan siapa anak kita berkawan. Ibu bapa harus sentiasa berdoa agar anak-anak mereka terhindar dari perkara-perkara yang tidak diingini .Mereka harus sedar bahawa doa ibu bapa sangat penting untuk kesejahteraan hidup anak-anak.


KESAN DAN CABARAN TERHADAP FENOMENA KERUNTUHAN AKHLAK


Keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberikan kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama negara pada masa akan datang, memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu. Kiranya individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka secara automatiknya peribadi individu itu juga akan menjadi buruk. Remaja yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.


Kesan Ke atas Individu

Akhlak merupakan cermin dan peribadi seseorang individu. Oleh itu akhlak sangat penting dalam kehidupan seharian seseorang individu. Individu yang mempunyai akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, manakala individu yang tidak mempunyai akhlak yag baik akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Namun begitu kebanyakan remaja pada hari ini, terutamanya remaja muslim, mempunyai akhlak yang begitu memalukan agama, bangsa dan negara.


Banyak kejadian seperti pembuangan bayi, zina, perjudian, budaya homoseksual, penagihan dadah dan sebagainya dilakukan oleh remaja muslim pada hari ini yang kebanyakan mereka berpaksikan dan bertunjangkan nafsu dan amalan yang dipengaruhi oleh budaya-budaya Barat dan asasnya mungkin berpunca daripada kurangnya pegangan agama pada diri mereka. Tidak dapat dinafikan juga kesan keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang mendalam pada diri individu.


Kesan Ke atas Keluarga

Keluarga memainkan peranan yang penting kerana dari institusi kekeluargaanlah kebahagian dan keharmonian sesuatu masyarakat itu bermula. Keruntuhan institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Akhlak yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Benarlah kata–kata hikmah yang menyatakan bahawa rumah itu adalah akar segala-galanya. Oleh sebab itu, keruntuhan akhlak akan menyebabkan dan memberikan kesan yang besar ke atas kebahagian dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Antara kesan yang akan berlaku akibat terhadap institusi kekeluargaan ialah:


• Keruntuhan institusi kekeluargaan akan berlaku. Akhlak yang baik datangnya daripada keluarga yang harmoni dan bahagia.

• Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam kekeluargaan, pastinya akan wujud penceraian.

• Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak-anak akan hilang tempat bergantung dan bermanja.

• Wujudnya masalah-masalah sosial yang lain seperti budaya lepak, ketagihan dadah, pelacuran, perjudian, hubungan sesama jenis dan masalah-masalah yang lain.


Kesan Ke atas Masyarakat

Keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar dalam masyarakat. Jatuh bangunnya sesuatu negara, agama dan bangsa dapat dilihat dari segi akhlak dalam masyarakat itu sendiri. Tidak dinafikan akhlak remaja pada hari ini sangat membimbangkan. Budaya kuning dan pengaruh budaya Barat mudah meresap masuk dan menjadi ikutan para remaja hari ini. Kiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak–pihak yang tertentu, terutamanya oleh pihak kerajaan dan juga pihak–pihak yang berwajib, maka tidak hairanlah pada masaakan datang masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja–remaja Melayu terutamanya akan rosak dan binasa. Oleh itu pihak–pihak atau anasir luar akan cuba mengambil kesempatan atas kelemahan bangsa kita sendiri. Namun begitu kesan yang paling ketara yang akan dilihat kiranya akhlak remaja pada hari ini tidak dikawal ialah:


• Masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu.

• Perasaan buruk dan prasangka pasti akan wujud dalam masyarakat. Sifat salingcuriga-mencurigai akan bertahta di hati masyarakat.

• Wujudnya pergaduhan dalam masyarakat akan pasti akan berlaku. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum.

• Kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat.

• Keharmonian dalam masyarakat tidak akan wujud.


Kesan Ke atas Negara

Tidak dapat dinafikan juga keruntuhan akhlak akan memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangunnya sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Tidak dapat dinafikan lagi, akhlak remaja pada waktu ini berada pada tahap yang membimbangkan. Semua pihak terutamanya kerajaan, badan NGO, dan juga daripada masyarakat itu sendiri harus berganding bahu untuk menangani gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Antara kesan yangakan berlaku ialah:


• Negara akan kehilangan generasi dan kepimpinan pada masa hadapan.

• Kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan ekonomi negara juga sukar untuk berkembang kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang yang tinggi di kalangan masyarakat.

• Kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial dan keruntuhan akhlak.

• Perbelanjaan kerajaan akan juga turut meningkat akibat berlakunya dalam peningkatan dalam kadar jenayah.

• Anasir-anasir luar akan mudah meresap masuk kedalam negara seandainya generasi pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka.

• Kiranya akhlak remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari ini tentulah serong dan buruk.


KESIMPULAN


Kajian ini mendapati bahawa keruntuhan akhlak dalam kalangan rakyat Malaysia begitu membimbangkan dan boleh merencatkan kecemerlangan negara. Malahan jika ini tidak ditangani dengan bijaksana serta perancangan yang teliti pastinya akan mengancam keselamatan negara kerana elemen-elemen keruntuhan akhlak ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke arah kehancuran. Kecemerlangan yang dilaungkan dan digembar-gemburkan ketika ini tidak memberi apa-apa makna kiranya akhlak rakyat tidak seiring dengan agenda untuk mencemerlangkan negara bangsa. Inilah antara yang menjadi isu dan cabaran besar pemimpin dan semua pihak untuk menentukan negara dan rakyat benar-benarmenepati kecemerlangan 51 tahun kemerdekaan.


RUJUKAN


Buku Dasar Kerajaan. (2006). Dasar-dasar kerajaan. Kuala Lumpur. Jabatan Penerangan Malaysia.


Kertas Kerja. (2007). Menangani gejala jenayah syariah. Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Johor.


Laporan Tahunan. (2007). Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Kuala Lumpur. AADK.


Lily Mastura Harun & Ramlan Hamzah. (2007). Asas kaunseling keluarga. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).


Mahmood Nazar Mohamed. (1990). Pengantar psikologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Rosmani Binti Ibrahim. (1998). Masalah Amalan Lepak di Kalangan Remaja Melayu: Kajian Kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Latihan Ilmiah, Fakulti Sastera dan SainsSosial, Universiti Malaya.


Samsudin A. Rahim. (1994). Tingkah laku lepak di kalangan remaja (Kajian di Semenanjung Malaysia). Laporan akhir dimajukan kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.