Poligami antara penyumbang kanser pangkal rahim
2011/02/14
KUALA TERENGGANU: Amalan berpoligami adalah antara penyumbang kepada kanser pangkal rahim di kalangan wanita berikutan sikap segelintir suami mengabaikan kebersihan diri.
Pakar Perubatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Marang, Dr Suhazeli Abdullah, berkata ada isteri-isteri yang mengalami penyakit pembunuh senyap itu, menderita setelah dijangkiti virus daripada lelaki yang berpoligami atau lelaki yang melakukan hubungan seks rambang.
"Kebersihan itu sangat penting bagi lelaki yang berpoligami bagi mencegah kanser pangkal rahim terhadap isteri mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah "Penyakit Alaf Baru Pembunuh Senyap" anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) disertai 200 pelajar dan kakitangan UMT di sini hari ini.
Dr Suhazeli berkata, sebagai langkah awal bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim, Kementerian Kesihatan menggalakkan semua pelajar perempuan tingkatan satu dan dua mengambil suntikan Human Papillomavirus (HPV).
Dr Suhazeli berkata, pelajar-pelajar itu perlu mengambil suntikan sebanyak tiga dos untuk sepanjang hayat bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim.
"Ada juga ibubapa tidak membenarkan anak mereka disuntik dengan HPV kerana berpendapat anak mereka bukan berperangai liar.
"Pengambilan suntikan HPV adalah digalakkan sebagai langkah pencegahan kerana kita tidak tahu lebih dekat mengenai gaya hidup anak kita. Bagaimanapun pengambilan HPV bukanlah lesen untuk mereka lebih bebas bergaul," katanya.
Beliau berkata, vaksin itu juga boleh didapati di klinik-klinik kesihatan dan wanita yang inginkan vaksin HPV boleh mendapatkannya di klinik-klinik berkenaan sebagai langkah pencegahan. - BERNAMA
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Poligamiantarapenyumbangkanserpangkalrahim/Article
http://www.facebook.com/bhonline/posts/163803303672318?cmntid=163803673672281
KENYATAAN AKHBAR
Isu: Laporan “ Amalan Poligami antara Penyumbang Kanser Pangkal Rahim”
Untuk Siaran Segera
Semua Media
Saya merujuk kepada beberapa laporan akhbar secara online yang memetik laporan Bernama bertajuk “ Amalan Poligami antara Penyumbang Kanser Pangkal Rahim” disiarkan pada 14 Febuari 2011 dan juga akhbar pada 15hb Febuari 2011 berkaitan perkara yang sama. Laporan tersebut seolah-olah menyatakan bahawa saya dalam kapasiti sebagai seorang Pakar Perubatan Keluarga mendakwa saya mengeluarkan kenyataan bahawa amalan berpoligami adalah antara faktor penyumbang kanser pangkal rahim.
Secara peribadi saya ingin membetulkan laporan tersebut kerana ia merujuk saya sebagai sumber kenyataan tersebut.
Saya menegaskan bahawa saya tidak membuat kenyataan sedemikian, laporan tersebut adalah tidak tepat, di luar konteks dan langsung tidak menggambarkan keseluruhan isi ceramah saya yang bertajuk “Penyakit Alaf Baru, Pembunuh Senyap” berlangsung di Universiti Malaysia Trengganu. Apa yang cuba saya tampilkan hanyalah wanita yang mempunyai berbilang pasangan seks (multiple partner) berisiko tinggi kepada jangkitan HPV (Human Papilloma Virus) dan seterusnya menjadi factor penyumbang kanser pangkal rahim dan bukan poligami yang merupakan faktornya. Saya juga menegaskan tentang peri pentingnya menjaga kebersihan bagi pasangan yang melakukan seks dengan berbilang pasangan.
Saya tidak pernah berniat mempersoalkan kesucian ajaran agama Islam malah saya sendiri sebagai seorang Pakar Perubatan Keluarga telah banyak melihat bukti saintifik ajaran Islam itu menepati kajian-kajian serta penemuan sains.
Saya amat kesal intipati ceramah saya disalahlapor dan tidak akan bertanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan oleh pihak yang melaporkannya itu. Semua laporan yang salah tersebut perlu ditarikbalik dengan serta merta kerana ia boleh mengelirukan dan membangkitkan sensiviti beragama rakyat Malaysia.
Bertarikh pada 15 Febuari 2011
Dr Suhazeli bin Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Klinik Kesihatan Marang.
No Tel: 019 9563653
http://suhazeli.blogspot.com/2011/02/penafian-saya-atas-kenyataan-wanita.html
http://suhazeli.blogspot.com/2011/02/tokek-hiv-poligami-kanser-pangkal-rahim.html
Tuala wanita punca barah pangkal rahim'
Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my
2011/02/21
Kementerian Kesihatan digesa beri penjelasan
KUALA BERANG: Kementerian Kesihatan digesa memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung dakwaan bahawa penggunaan tuala wanita dikatakan menjadi punca wanita menghidap penyakit barah pangkal rahim.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata penjelasan perlu bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung dakwaan itu yang dibuat beberapa persatuan pengguna dan tersebar melalui internet.
Berdasarkan kajian sebuah persatuan pengguna, antara punca utama wanita diserang barah pangkal rahim adalah disebabkan penggunaan tuala wanita yang diperbuat daripada bahan buangan termasuk kertas terpakai.
“Jika kita kaji dan membuat perbandingan, wanita pada zaman dulu tidak menghidap penyakit barah pangkal rahim kerana tidak menggunakan tuala wanita, justeru, dakwaan itu memang nampak ada asasnya.
“Sebab itu kita minta kementerian membuat kajian dan mengumumkan sama ada dakwaan dibuat persatuan pengguna terbabit betul atau sebaliknya supaya orang ramai terutama di kawasan luar bandar tidak terus keliru,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas merasmikan Kem Kesihatan Felda Bukit Banding bertemakan ‘Ke Arah Kesedaran Penyakit Kusta dan Barah’ di Dewan Sivik Felda Bukit Banding, Ajil, Hulu Terengganu di sini, semalam.
Sementara itu, Rosol juga meminta Kementerian Kesihatan membuat kajian mendalam mengenai serangan angin ahmar yang semakin berleluasa hingga kerajaan negeri mendapati hampir setiap keluarga ada seorang penghidap.
“Selain kajian, kementerian juga perlu menggiatkan kempen kesedaran dan langkah pencegahan bagi mengelak serangan angin ahmar di kalangan penduduk termasuk di kawasan luar bandar.
“Kita difahamkan punca utama serangan angin ahmar adalah disebabkan saluran darah tersumbat dan saluran urat pada otak pecah,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tualawanitapuncabarahpangkalrahim_/Article/
“Sungguh akan terlepas pegangan Islam satu demi satu. Setiap terlepas salah satu pegangan, maka orang-orang akan berebutan untuk bergantung kepada yang lain. Adapun yang pertama kali terlepas itu adalah persoalan hukum, sedangkan yang terakhir adalah perkara solat.”. (Riwayat Ahmad)
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah s.a.w. bersabda: “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi”. (Riwayat Hakim)
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab baginda s.a.w. : Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum;- (Riwayat Ibn Majah)
Ulama Tidak Dipedulikan;- Daripada Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya).”;- (Riwayat Ahmad).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan