Ahad, 6 Mac 2011

Kecelaruan Islam Di Negara Umat Islam...

“Sungguh akan terlepas pegangan Islam satu demi satu. Setiap terlepas salah satu pegangan, maka orang-orang akan berebutan untuk bergantung kepada yang lain. Adapun yang pertama kali terlepas itu adalah persoalan hukum, sedangkan yang terakhir adalah perkara solat.”. (Riwayat Ahmad)

Selepas negara-negara umat Islam dijajah, terutama dijajah oleh bangsa-bangsa Barat kemudian negara-negara umat Islam telah merdeka satu demi satu sejak 60 tahun yang lampau hampir semua negara-negara umat Islam yang telah merdeka ini undang-undang negara mereka belum kembali kepada Islam. Kalau ada pun hanya pada nama, di dalam amalan belum berjalan betul dan serius.

Untuk kembali kepada perlembagaan Islam, masih takut, bimbang, bahkan ada yang anti dan memusuhi undang-undang Islam tapi apa telah terjadi?

Sekiranya ada kelompok yang serius beria-ia sangat untuk mendaulatkan Islam sebagai undang-undang, mereka akan dicurigai, dimusuhi, ditentang, di halang, dibuang, dituduh memecah-belah umat dan menggugat keselamatan negara. Kemudian dicarilah alasan untuk dia disimpan. Kerana itulah umat Islam yang lemah semangat, ada kepentingan, sudah tidak mampu lagi memperjuangkan Islam itu secara global kerana tidak sanggup menerima risiko yang berat.

Secara umumnya kemajuan dan pembangunan belum sampai ke mana, ilmu masih bersandar dengan orang lain, krisis politik masih tidak habis-habis, ekonomi banyak negara umat Islam yang miskin, sekalipun khazanah negaranya kaya.

Dr Alison yang memeluk agama Islam ketika menghadiri persidangan saintifik di Kaherah mengatakan bahawa orang Islam sendiri telah gagal menunjukkan hakikat saintifik yang ada pada agama Islam kepada yang bukan beragama Islam.

Beliau yang kini bernama Abdullah Alison, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektronik dan Elecktrikal di sebuah Universiti di Britain (University of London), menyeru saintis barat mengenali Islam yang beliau sifatkan sebagai “agama yang menjawab kedua-dua bidang intelek dan sentimen sekali gus”.


Hari ini di seluruh dunia kalau kita mengajak umat Islam agar menjadikan syariat Islam yang bersumberkan dan Al Quran dan Sunnah, sebagai undang-undang hidup, ramai di kalangan umat Islam rasa tidak senang. Yang tidak senang itu bukan orang Islam biasa sahaja tapi cerdik pandainya, terutama yang mendapat pendidikan Barat yang turut rasa tidak senang dan membangkang.

Bahkan sebahagian ulama pun akan ada yang berdalih dengan mendatangkan berbagai-bagai hujah mengapa Islam itu tidak boleh dijadikan perlembagaan hidup di dalam negara. Mereka itu bila disebut sahaja Islam patut dijadikan sebagai perlembagaan dan undang-undang ada yang mencemik, ada yang kerut muka, ada yang mengatakan nanti apa kata bangsa lain, nanti orang takut, boleh membawa huru-hara, kita tidak mahu patah ke belakang, kita akan jadi mundur bahkan bermacam-macam perkataan yang kita akan dengar daripada lidah mereka yang tidak setuju.

Dari dahulu lagi Islam dibenci, manakala umatnya dicerca. Malah, pada kaca mata Barat, orang Islam mempunyai keperibadian yang menakutkan, agresif dan ekstrem. Semuanya kerana perkataan Islam.


Di Malaysia contohnya, imej Islam tercalar lagi dengan gambaran kononnya Islam mengamalkan kezaliman, penindasan dan tiada keadilan terhadap wanita seperti kes Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32. Kes model yang dijatuhi hukuman maksimum denda RM5,000 dan enam kali sebatan rotan selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana mengambil minuman keras terus menjadi polemik.

Ada pula mempertikaikan kewajaran menjatuhkan hukuman sebat terhadap umat Islam yang meminum arak, malah mendakwa kemungkinan hakim tersilap menjatuhkan seksaan. Pendek kata banyak pihak berpendapat hukuman terbabit tidak adil, tidak saksama dan menindas wanita.

Kadangkala kita sendiri pun malu kerana orang Islam sendiri yang menyindir, menempelak, memperlekeh dan mempertikaikan hukum Islam. Hukuman sebat menggunakan rotan itu adalah takzir sebagai pengajaran, bukannya penderaan dan jauh sekali penindasan seperti dimomokkan barat. Dunia barat sentiasa mengganggu wanita, tetapi masyarakat tidak pula mempertikaikan, malah langsung tidak timbul pun soal keadilan dan kezaliman.

Bagi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), isu Kartika menjadi besar kerana pesalahnya wanita sedangkan sebelum ini ada pesalah dihukum enam sebatan, tetapi tidak dipolemikkan kerana mereka lelaki.

Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata masih ramai tidak faham mesej disampaikan hakim syarie itu.Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mampu membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius mencegah kemungkaran.

"Prinsip hukuman dalam Islam adalah untuk memberikan pengajaran kepada pesalah da
n masyarakat Islam membenci kemungkaran maksiat .

"Tetapi, tanpa disedari masyarakat diberikan kefahaman salah berkaitan pelaksanaan sebatan ke atas pesalah itu dengan menyamakan dengan pesalah jenayah sivil.

"Inilah masalahnya, mereka tidak memahami undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah, tetapi mahu bercakap mengenai undang-undang Islam," katanya.

Sebatan mengikut undang-undang Islam dilakukan dengan kekuatan sederhana dan selepas melakukan satu sebatan, pelaksana hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya (melibas).

"Kebiasaannya sebatan hanya meninggalkan kesan merah dan tidak memudaratkan sehingga mampu memecahkan kulit," katanya.


Hukuman sebat terhadap pesalah wanita pernah dilaksanakan di Aceh yang menguatkuasakan undang-undang separa syariah pada 2001.Manakala hukuman sebat sebanyak tujuh kali dilaksanakan terhadap empat pesalah wanita di khalayak ramai buat pertama kali pada Jun 2005.



Di negara Islam yang kaya, kekayaannya hanya diperolehi oleh golongan yang kecil dan terbatas namun rakyat umumnya masih ramai yang papa kedana, pergaduhan, pergeseran, pembunuhan, peperangan lebih banyak berlaku di negara-negara umat Islam. Gejala masyarakat, dadah, rasuah, zina, arak, perpecahan keluarga, rogol, sumbang muhrim masih berleluasa berlaku di negara-negara umat Islam. Hal-hal ini berlaku dengan sebab-sebab sistem-sistem yang telah dipraktikkan bukan berdasarkan sistem ISLAM.

Apa tidaknya, malu sudah tiada, seks dan kehidupan lucah macam binatang merata dan menjolok mata, rogol, zina, homoseksual dan lesbian jadi budaya, zina bukan sahaja berlaku dengan yang bukan muhrim, dengan muhrim pun biasa sahaja, sistem kekeluargaan punah-ranah, hidup nafsi-nafsi jadi budaya, bertukar-tukar bini, seks bebas biasa sahaja, agama sudah tiada tempat, orang tua terbiar, orang muda liar, bunuh, tembak-menembak jadi hiburan, bunuh diri sebagai jalan keluar menyelesaikan masalah yang tidak boleh hendak diselesaikan.

Patutnya pengalaman-pengalaman ini umat Islam menjadi sedar dan insaf, terutama yang insaf itu sepatutnya para-para ulamanya, pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi, cendiakawan-cendiakawan, pemimpin-pemimpin masyarakat kerana merekalah yang berfikiran lebih cemerlang.

Waktu inilah umat Islam kembali kepada ajaran Islam dengan penuh berani dengan tekad yang Islam itu memang kepunyaan mereka, yang telah membuktikan kebaikan beratus-ratus tahun yang silam. Dengan ajaran Islam, umat Islam menjadi tuan guru, contoh teladan dan ikutan bangsa-bangsa lain.

Oleh itu apalagi hendak ditunggu-tunggu lagi, dengan sistem orang lain sudah kita cuba hasilnya kehinaan, kelemahan, perpecahan, kemungkaran, kerosakan masyarakat, kemelaratan. Apakah kita hendak teruskan undang-undang yang kita pinjam itu yang telah merosakkan kita?

Di Barat, pemimpin-pemimpin, cerdik pandai, pemimpin masyarakat mereka telah bingung, ingin cari jalan keluar daripada kemelut dan kekusutan yang ada tapi tidak nampak jalan. Mereka telah jemu dan rasa kecewa dengan sistem hidup mereka sendiri tapi tidak ada alternatif. Hendak ikut Islam tidak ada model, umat Islam pun macam mereka kerana sistem hidupnya sama atau hampir-hampir sama.

Prof. Palmer Ahli Geologi ternama Amerika Syarikat. " Al-Quran adalah kitab yang menakjubkan yang menggambarkan masa lalu, sekarang, dan masa depan."

DR. John William Draper dalam buku "A History of the intelectual Development in Europe", London, 1875, jilid 1 , p. 343-344, berkata: "Qur'an mengandungi panduan-panduan dan proses moral yang cemerlang yang sangat berlimpah-limpah; susunannya demikian pragmatik, sehingga kita tidak dapat membuka satu lembaran tanpa menemukan ungkapan-ungkapan yang harus diterima oleh sekalian orang. Susunan pragmatik ini, mengemukakan teks-teks, moto dan peraturan- peraturan yang sempurna sendirinya, sesuai bagi setiap orang untuk setiap peristiwa dalam hidup."

Dari buku "Bonaparte et I'Islarn oleh Cherlifs, Paris, p. 105, berkata sebagai berikut: "I hope the time is not far off when I shall be able to unite all the wise and educated men of all the countries and establish a uniform regime based on the prinsiples of the Qur'an wich alone can lead men to happiness. Artinya: Saya meramalkan bahawa tidak lama lagi akan dapat dipersatukan semua manusia yang berakal dan berpendidikan tinggi untuk memajukan satu kesatuan kekuasaan yang berdasarkan prinsip--prinsip ajaran Islam, karena hanyalah Qur'an itu satu-satunya kebenaran yang mampu memimpin manusia kepada kebahagiaan.


Mengapakah ramai umat Islam masih juga mengikut orang Barat yang sistem hidup mereka sudah gagal. Sistem mereka bukankah telah merosakkan insaniah manusia..???

Antara sebab-sebabnya;


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah s.a.w. bersabda: “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6)hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi”. (Riwayat Hakim)

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab baginda s.a.w. : Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum;- (Riwayat Ibn Majah)

Ulama Tidak Dipedulikan;- Daripada Sahl bin Saad as-Saaidi r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Ya Allah! Jangan kau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan suatu masa di mana para ulama sudah tidak diikut lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya).”;- (Riwayat Ahmad).


Al-Quran bukan untuk diambil separuh-separuh atau mana-mana ayat yang disukai diikuti dan mana-mana ayat yang tidak disukai dan menepati citarasa dan cita-cita mereka ditinggalkan. Al-Quran perlu dihayati dan diamalkan keseluruhannya. Syarat bagi umat Islam untuk kembali menguasai dunia hanyalah dengan kembali bepegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. dan dari sinilah penguasaan ilmu-ilmu sains dan teknologi hebat akan bermula. Sama seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. yang mula membentuk akhlak para sahabatnya menjadi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan kitabNya sepenuh hati. Dari sini para sahabat Rasulullah s.a.w. ini mula mengorak langkah mengembangkan Islam dengan menguasai dunia dan seterusnya generasi-generasi yang mewarisi kemakmuran dan kekuatan ekonomi ini mula menguasai teknologi dan ilmu-ilmu yang kemudiannya melonjakkan tamadun Islam jauh ke hadapan.

WALLAHUA'LAM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan